Kelongsong ketupat, buah meriahkan Tamu Muhibbah menjelang Aidiladha

Category: Sarawak
Tags: buah-buahan , hari raya aidiladha , ketupat
Date: 05 Jun 2025
6 views
  • Share :

MIRI, 5 Jun: Suasana di sekitar Tamu Muhibbah, Miri semakin meriah menjelang Hari Raya Aidiladha apabila para peniaga tempatan mula menawarkan pelbagai juadah tradisional dan hasil pertanian yang segar dari ladang.

Antara yang mencuri tumpuan pengunjung ialah jualan pelbagai jenis ketupat oleh peniaga tempatan, Suparni Radikul, yang menyatakan permintaan meningkat mendadak setiap kali musim perayaan.

“Tempahan memang banyak setiap kali perayaan. Untuk Hari Raya Haji ini pun, Alhamdulillah jualan sangat laris. Saya dah mula jual dua hari lepas, sekarang tinggal dalam 5 hingga 6 paket saja, mungkin dalam 200 biji lagi,” katanya ketika ditemui TVS di Tamu Muhibbah, Miri, di sini, hari ini.

Menurutnya, antara jenis ketupat yang dijual termasuk ketupat bawang, ketupat apong, ketupat kelapa serta daun kelupis, dengan harga bermula RM2 untuk ketupat apong dan RM3 untuk ketupat kelapa.

Dalam pada itu, peniaga buah-buahan, Edo Adnaja Effendi, turut berkongsi pengalaman menjual hasil tani tempatan yang dibawa dari sekitar Miri, Bekenu dan Kuching.

“Kami jual buah seperti nangka, rambutan, nanas, pisang iaitu semuanya hasil tempatan dari Miri, Bekenu dan Kuching. Sekarang musim buah belum penuh, jadi bekalan agak kurang,” katanya.

Tambahnya, harga buah seperti mangga yang diimport dari Kuching kini dijual antara RM12 hingga RM20 sekilogram, manakala mangga tempatan sekitar RM8 hingga RM15 sekilogram.

Buah tembikai juga mengalami kenaikan harga selepas pandemik COVID-19 kini mencecah RM4.50 sekilogram berbanding RM2 sebelumnya.

“Pelanggan masih okey dengan harga. Gaji pun ramai yang dah naik. Jadi walaupun ada kenaikan harga RM1 ke RM2 sekilo, mereka masih beli seperti biasa,” katanya lagi. – TVS

We may use cookies or any other tracking technologies when you visit our website, including any other media form, mobile website, or mobile application related or connected to help customize the Site and improve your experience. learn more

Allow